December 13, 2010

Salam Maal Hijrah!

Assalamualaikum! Apa khabar semua?

Salam Maal Hijrah buat semua Muslimin dan Muslimat sekalian. Harapnya, tahun yang baru ini adalah jauh lebih baik dari tahun yang lepas. Insya'Allah.

Apa itu hijrah?

Dari segi bahasa bermaksud perpindahan dari satu tempat ke satu tempat. Dari segi istilah pula ialah penghijrahan Nabi SAW dan umat Islam dari Mekah ke Madinah kerana perintah Allah SWT.

Apa kaitan bulan Muharram dan hijrah Nabi SAW? Apakah Nabi SAW berhijrah pada bulan Muharram?

Tidak. Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

Bagaimana terjadinya kalendar Islam atau Hijrah ini?

Tahun Hijrah atau kalendar Islam sebenarnya bermula pada zaman Saidina Umar al-Khattab r.a, bukannya zaman Nabi SAW.

Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:


Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orangramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).


Apakah ada doa khusus pada awal Muharram?


Tidak ada. Adapun masyarakat kita sering diajarkan dengan doa awal tahun dan doa akhir tahun, tiada dalil al-Quran dan Sunnah mengenainya dan ianya tidak pernah dibuat oleh Nabi SAW. Hal ini kerana, ketika zaman Nabi SAW, tahun Hijrah belum pun wujud kerana ia bermula pada zaman Saidina Umar al-Khattab r.a. Justeru, sudah tentu tiadanya doa khusus seperti itu.


Salahkah berdoa?


Tak salah. Sebab Allah SWT ada berfirman:


"Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu". Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu (berdoa kepadaKu) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina. [al Ghafir, 40:60]


Mesejnya disini ialah doa tersebut tidaklah seharusnya dijadikan satu amalan yang dilakukan hanya kerana datangnya tahun baru. Lebih-lebih lagi kononya ia doa dari Rasulullah SAW dan mempunya fadhilat-fadhilat tertentu sedangkan tiada sebarang dalil yang menyokongnya. Jangan kita lupa akan hadis Nabi SAW:


“Sesungguhnya benar-benar hadith(percakapan) itu ialah kitab Allah. Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad saw. Manakala sejahat-jahat urusan itu ialah yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah manakala setiap bid’ah adalah sesat.” Hadis riwayat Muslim


Apakah ada amalan pada bulan Muharram?


Ada. Buktinya adalah berdasarkan hadis ini:


صوم يوم عرفة يُكفِّر سنتين: ماضية ومستقبلة، وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية

"Puasa pada hari Arafah menghapuskan (dosa) 2 tahun : yang lepas dan yang akan datang, dan puasa pada hari 'Asyura' menghapuskan (dosa) setahun yang lepas" -[Hadith diriwayatkan oleh semua kecuali al-Bukhari dan Tirmudzi, Nailul Authar, 4/323].


Kesimpulannya, janganlah kita cepat mengambil sesuatu ajaran atau amalan tanpa menyelidik sumber dan kesahihan amalan itu sendiri. Beramal mengikut cara Nabi SAW adalah jalan yang terbaik. Hal ini kerana, Nabi SAW pernah bersabada:


“Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama ini maka dia tertolak” [HR Muslim]