August 20, 2010

Toilet vs Dakwah

Seorang Murabbi mendapati mutarabbinya telah mulai menjauhkan diri daripada usrah, katibah dsb. Bila ditanya kenapa? Disebabkan ‘bisnes’...!

Bisnesnya telah maju dan mulai sibuk menguruskannya saban hari. Tiada lagi ruang untuk menumpukan kepada perkara lain kerana bimbang bisnesnya akan terjejas. Siang dan malam dia akan pastikan semua urusan bisnesnya berjalan lancar. Waktu siang dihabiskan untuk mengawal selia marketnya yang begitu sibuk dengan pelanggan yang berpusu-pusu datang hingga lewat malam, sedangkan waktu malam pula diuntukkan bagi mengemaskini wang yang diperolehi di siang harinya. Begitulah sepanjang-panjang hari dalam seminggu dan bulan.

Murabbinya lantas menziarahinya ke tempat bisnes. Dia menyambut dengan baik tetapi diselaputi kerisauan yang mendalam, bimbang akan ditanya perihalnya dengan dakwahnya. Akhirnya dia berterus terang saja dengan memberi alasan bahawa dia tidak mampu untuk membiarkan urusan bisnesnya diurus oleh pekerja-pekerjanya tanpa pemantauan daripadanya sendiri. Dia perlu sentiasa bersama pekerja-pekerjanya pada setiap masa.

Murabbi yang bijaksana telah bertanya…”Sedang saudara memantau pekerja-pekerja saudara keluar masuk melaksanakan kerja mengikut yang disuruh, tiba-tiba perut saudara sakit dan perlu segera ke toilet bagi melegakannya; apa yang saudara akan lakukan?” Dia menjawab sudah tentu saya akan ke toilet dengan segera kerana itu adalah keperluan mendesak yang tidak boleh dikompromi, makruuf yang akhi. Murabbinya lantas menyatakan: “Kalau demikian halnya, saudara telah menjadikan amal dakwah ini kurang pentingnya berbanding urusan saudara ke toilet. Ke toilet saudara kata penting dan perlu kerananya bisnes mesti ditinggalkan. Tahukah saudara yang selama ini saudara telah meletakkan amal dakwah ini lebih rendah daripada martabat urusan saudara ke bilik air/tandas?”

Dengan jawapan Murabbinya, dia insaf dan kembali meletakkan dakwahnya di tempatnya yang paling tinggi dalam hidupnya. Sejak hari itu dia tidak lagi menguzurkan dirinya daripada menghadirkan dirinya ke program-program dakwah dan tarbiahnya. Semoga ia menjadi pengajaran bagi kita semua InsyaAllah.

Sumber : Di sini.

Bagaimana Puasa Kita?

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Nabi S.A.W mengingatkan kita bahawa di kalangan orang yang berpuasa, ada yang tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Dan di sana pula terdapat golongan yang berpuasa dan memperoleh pelbagai keistimewaan dan keberkatan. Di dalam spektrum yang begitu luas, di manakah kita?

Untuk mencapai darjat tertinggi yang dianugerahkan kepada orang yang berpuasa, kita perlu memenuhi syarat lahiriahnya yakni menahan diri dari makan, minum dan perkara lain yang membatalkan puasa. Kita perlu juga menghidupkan sunat dan adab puasa seperti bersahur, menyegerakan berbuka, bertarawih, bersedekah dan membaca al-Quran. Tetapi itu saja tidak mencukupi. Menurut Sheikh Said Hawwa di dalam kitabnya al-Mustakhlas fi Tazkiyatun Nafsi, terdapat enam syarat tambahan yang perlu diberi perhatian oleh orang yang benar-benar berhajat meninggikan kualiti puasanya:

a. Memejamkan mata serta mengekangnya jangan sampai memperluas, atau memperdalamkan penglihatan, yakni melihat dengan berlebih-lebihan kepada segala sesuatu yang tercela dan tidak baik dan dibenci oleh agama. Demikian pula melihat apa saja yang menyebabkan hati terpesona, sehingga lalai daripada mengingati Allah.

b. Menjaga lisan dari perkataan yang tidak masuk akal atau senda-gurau yang melampaui batas, atau berkata kotor, atau berkata yang sia-sia, atau berdusta atau mengumpat, atau mengadu domba atau berkata jijik, atau bertengkar atau memamerkan diri sendiri. Sebaliknya hendaklah diam atau mengurangkan bicara yang tidak perlu dan menyibukkan diri dengan berzikir kepada Allah gemar membaca al-Quran atau kitab-kitab agama.

c. Menahan diri dari mendengar apa yang tidak disenangi dari ukuran agama, sebab setiap perkara yang haram diucapkan maka menjadi haram mendengarnya.

d. Menahan anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa khususnya tangan dan kaki jangan sampai melakukan hal-hal yang terlarang menurut kacamata agama. Begitu juga menahan perut dari makan apa-apa yang bukan sahaja haram tetapi juga yang syubhat, terutama di saat berbuka puasa.

e. Menahan diri dari terlalu banyak makan atau menyediakan pelbagai makanan ketika berbuka, sekalipun makanannya halal, sehingga perut sekan-akan tidak memuatnya lagi. Sebab tiada wadah yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh terisi. Puasa ialah untuk mematahkan segala macam kesyahwatan, maka adakah orang yang puasa itu wajar memupuk kembali syahwatnya ketika berbuka? Sepanjang hari ia menekan nafsu maka ia adakah bermaksud membalas dendam nanti pada waktu berbuka?

f. Pada siangnya, masih ketika berpuasa, ia membeli ini dan itu yang berupa makanan dan waktu berbuka akan dihabiskan semua sekali. Maka tujuan puasa untuk melemahkan nafsu syahwat tetap tidak berhasil. Sewajarnya, sediakanlah makanan dan makanlah sekadar seperti mana hari-hari biasa pada bulan lain, tanpa berlebih-lebihan atau mengistimewakannya sehingga merangsang lagi nafsu.

g. Hendaklah hatinya menggantung harap dan takut mengenai diterima atau tidak puasanya hari itu. Hatinya berdebar-debar dan tidak tenteram; kerana belum ada kepastian. Jika diterima, pasti termasuk dalam golongan almuqarrabin yang mempunyai pelbagai keistimewaan. Jika tidak, maka pasti tergolong ke dalam golongan yang tertolak amalannya, lagi dimarahi dan dimurkai-Nya. Orang yang tertipu oleh dirinya sendiri mengira ibadatnya pasti diterima, padahal ada kemungkinan tidak demikian. Nanti pada hari kiamat ia akan terkejut mengapa Allah tidak menerima amalannya!

Semoga Allah swt menerima membantu kita mengamalkan dan istiqamah dengan keenam-enam perkara di atas ke arah meningkatkan kualiti puasa kita.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Sumber : Di sini.

Musafir : Hukum berbuka puasa

1. Keizinan iftar (berbuka puasa) apabila seseorang itu bermusafir adalah dari nas al-Quran dan al-Sunnah, bukan pendapat mana-mana pihak. Maka, tiada siapa yang boleh membatalkan keizinan yang tertinggi ini. Firman Allah (maksudnya):

..dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti) pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185).

Ayat ini memberikan keizanan untuk mereka yang bermusafir berbuka puasa. Maka ia merangkumi setiap yang bermusafir, samada dia sering bermusafir, atau jarang bermusafir, tidak menjadi persoalan. Keizinan diberikan kepada sesiapa yang bergelar musafir. Ertinya, apabila dia boleh mengqasarkan solat kerana musafir, dia juga mendapat kelonggaran berbuka puasa pada bulan Ramadan.

2. Samada dia merasa beban dalam musafirnya ataupun tidak, dia tetap mendapat kelonggaran berbuka. Ini kerana ‘illah (paksi) hukum dalam hal ini adalah safar (permusafiran). Sekalipun mungkin di zaman kini bagi yang menaiki kapalterbang mewah tidak merasai apa-apa beban, namun dia tetap dikira sebagai seorang musafir, maka dia mendapat kelonggaran ini. Apa yang penting, dia wajib menggantikannya pada hari-hari lain.

3. Pada asalnya, kelonggaran bererti dia mempunyai pilihan. Jika dia mahu dia boleh mengambil kelonggaran tersebut dan digantikan puasa pada hari yang lain. Jika dia enggan dia boleh terus berpuasa. Daripada Anas bin Malik r.a, katanya:

Aku bermusafir bersama Rasulullah S.A.W dalam bulan Ramadan. Orang yang berpuasa tidak mempertikaikan yang berbuka, dan yang berbuka pula tidak mempertikaikan yang berpuasa” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, bagi seseorang yang bermusafir semasa Ramadan dia boleh membuat pilihan yang paling baik untuk dirinya. Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya Rasulullah S.A.W:

Wahai Rasulullah! Aku dapati aku mempunyai kemampuan untuk berpuasa ketika musafir, adakah itu satu kesalahan ke atasku? Jawab Nabi S.A.W: “Ia adalah rukhsah (kelonggaran) daripada Allah, sesiapa yang mengambilnya maka sesuatu yang baik, sesiapa yang suka untuk berpuasa maka tiada salah baginya." (Riwayat Muslim)

4. Para ulama berbeza pendapat tentang manakah lebih afdal ketika bermusafir; puasa atau berbuka. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri. Saya bersetuju dengan pendapat bahawa jika puasa tidak menjadi bebanan, maka berpuasa lebih baik. Ini kerana dalam hadis Jabir r.a:

Bahawa Rasulullah S.A.W keluar ke Mekah pada tahun pembukaan Mekah pada bulan Ramadan. Baginda berpuasa sehingga sampai Kura’ al-Ghanim. Orang ramai turut berpuasa. Lalu diberitahu kepada baginda: “Sesungguhnya puasa telah membebankan orang ramai, mereka sedang menunggu apa yang engkau akan lakukan”. Lalu selepas Asar, baginda meminta sebekas air dan meminumnya” (Riwayat Muslim).

Dalam hadis ini menunjukkan, jika tidak kerana bebanan ke atas para sahabah, tentu baginda terus berpuasa. Dalam riwayat Muslim juga menyebut dalam peristiwa di atas baginda memarahi mereka yang enggan berbuka setelah baginda berbuka. Baginda menyebut:Mereka itu menderhaka! Mereka itu menderhaka!”.

5. Adapun jika puasa menjadi beban sehingga boleh membawa mudarat, maka seseorang wajib membuka puasanya. Nabi S.A.W melarang para sahabah berpuasa sehingga memudaratkan diri. Ini seperti hadis di atas yang mana Nabi S.A.W menyatakan bahawa mereka yang enggan berbuka puasa sekalipun telah menjadi bebanan kesusahan kepada diri itu sebagai menderhakai arahan atau teladan baginda S.A.W Dalam riwayat al-Bukhari:

Rasulullah S.A.W dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa?. Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir!”.

Maka hendaklah sesiapa yang merasakan dirinya terbeban sehingga memudaratkan kesihatan atau keadaannya, maka dia wajib membuka puasa.

6. Jika Nabi S.A.W menyuruh membuka puasa apabila bimbang mudarat atau bebanan yang terlalu berat untuk dirinya secara individu, sudah pasti dia lebih patut membuka puasa jika memudarat pihak-pihak lain. Ini seperti pemandu kenderaan awam yang jika mereka berpuasa boleh menghilangkan tumpuan mereka dalam perjalanan seterusnya boleh mengundang kemalangan, maka mereka hendaklah berbuka puasa. Jika ia tidak mengganggu tugas dan mengancam keselamatan awam, maka mereka tidak diwajibkan berbuka, namun mempunyai pilihan.

7. Dikiaskan dalam hal ini, mereka yang sakit yang mungkin akan menjadi mudarat jika terus berpuasa, maka mereka wajib berbuka. Jangan ada yang membahayakan diri dengan meninggalkan rawatan dan ubat semata-mata kerana ingin berpuasa pada bulan Ramadan. Allah yang mewajibkan puasa Ramadan itu, Allah itu juga telah mewajibkan berbuka bagi hamba-hambaNya yang dalam mudarat. Maka taatilah Allah dalam kedua arahan tersebut. Apa yang penting, wajib menggantinya apabila mampu, atau membayar fidyah bagi yang terus tidak berkemampuan.

8. Para ulama seterusnya berbeza pendapat mengenai seseorang musafir yang berbuka puasa; apakah dia wajib menahan diri dari makan dan minum apabila sudah sampai ke negeri atau tempat tujunya, sedangkan orang ramai berpuasa. Pendapat yang terpilih; dia tidak wajib menahan diri dari makan dan minum kerana dia tidak berpuasa dan perbuatan itu tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Ia bukan suatu puasa yang sah kerana dia telah pun berbuka. Tiada dalil syarak yang mewajibkannya berbuat demikian. Kata Abdullah bin Masud r.a:

Sesiapa yang makan pada awal hari, maka dia boleh makan pada akhir hari” (Riwayat al-Baihaqi).

Demikian juga bagi wanita haid, nifas dan sakit. Mereka boleh makan tanpa perlu menahan diri pada siang hari pada bulan Ramadan.

9. Namun, hendaklah mereka menyembunyikan perbuatan makan di siang hari tersebut. Sekalipun syarak mengizinkan mereka, namun orang ramai tidak mengetahuinya, maka itu akan menjadi tohmahan dan fitnah. Begitu juga ia boleh menggalakkan perbuatan tidak berpuasa bagi mereka yang tidak layak berbuka pada bulan Ramadan. Islam agama yang berusaha mengelakkan fitnah dan salah sangka dalam kalangan manusia.

10. Maka, seseorang yang mempunyai alasan yang diizinkan syarak untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan seperti faktor musafir ini –seperti perbahasan di atas-, maka dia boleh berbuka dan diganti pada hari-hari yang lain.

Sumber : Di sini.



August 14, 2010

Keliru Tentang Solat Terawih?

1. Sebenarnya, solat tarawih berjemaah yang pertama dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sendiri. Sesiapa yang membaca hadis, akan menemui hal ini. Daripada Aishah r.aha:

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat baginda. Paginya orang ramai pun bercerita mengenainya. Maka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua), baginda pun solat, mereka solat bersama baginda. Paginya orang ramai pun bercerita. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. Rasulullah S.A.W keluar bersolat, mereka solat bersama baginda. Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan orang yang hadir. (Baginda tidak keluar) sehinggalah baginda keluar pada solat subuh. Selesai solat subuh, baginda mengadap orang ramai, baginda bersyahadah, dan bersabda amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kamu, tetapi aku bimbang difardukan ke atas kamu lalu kamu tidak mampu. Sehinggalah Rasulullah S.A.W wafat dalam keadaan begitu (tiada jamaah tarawih di masjid)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini dengan jelas menunjukkan Nabi S.A.W yang memulakan solat qiam atau disebut sebagai tarawih secara berjemaah dengan satu imam. Bukan ‘Umar r.a yang memulakannya. Namun baginda berhenti kerana bimbang ia menjadi kefarduan disebabkan simpati baginda kepada umat. Ini kerana zaman tersebut adalah zaman wahyu diturunkan atau zaman pensyariatan. Baginda tidak berhenti kerana ia salah atau tidak diizinkan, namun berhenti bimbangkan Allah fardukan kepada umat sedangkan umat ini mungkin ada yang tidak sanggup.

Maka dari hadis ini, solat tarawih berjemaah adalah sunnah yang jelas. Mereka selama tiga hari telah solat di belakang baginda. Jika tidak kerana kebimbangan itu, tentu baginda meneruskannya. Apabila baginda wafat kebimbangan itu tiada lagi. Wahyu sudah terputus. ‘Umar pun menghidupkannya kembali. Pada zaman Abu Bakr, terlalu singkat masanya, dan mungkin beliau tidak berkesempatan menguruskan hal tersebut disebabkan berbagai kesibukan seperti kes murtad dan seumpamanya, atau beliau tidak melihat keperluan untuk itu.

2. Justeru itu al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) dalam karyanya al-I’tisam mengulas hadis ini dengan berkata:

Renungilah hadis ini. Ia menunjukkan kedudukan solat tarawih adalah sunat. Sesungguhnya solat baginda pada peringkat awal menjadi dalil menunjukkan kesahihan menunaikannya di masjid secara berjamaah pada bulan Ramadan. Baginda tidak keluar selepas itu adalah kerana bimbang difardukan. Tidak menunjukkan ia dilarang secara mutlak. Ini kerana zaman baginda ialah zaman wahyu dan tasyri’ (perundangan)..” (m.s 147, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).

Adapun berhubung dengan perkataan Saidina ‘Umar yang menyebut solat tarawih pada zamannya “sebaik-baik bid’ah hal ini”, al-Imam al-Syatibi mengulas:

Dia menamakannya bid’ah hanya disebabkan pada zahirnya setelah mana Rasulullah S.A.W meninggalkannya. Sepakat pula ia tidak berlaku pada zaman Abu Bakr r.a. Bukannya bid’ah pada makna (syarak). Sesiapa yang menamakan bid’ah disebabkan hal ini (muncul semula), maka tiada perlu perbalahan dalam meletakkan nama (istilah). Justeru itu tidak boleh berdalil dengannya untuk menunjukkan keharusan membuat bid’ah” (m.s 147-148).

Maksudnya bid’ah yang disebut oleh Saidina ‘Umar adalah disudut baru muncul semula setelah Nabi S.A.W tinggalkan, maka ia dari segi bahasa boleh dinamakan bid’ah. Bukan bererti keharusan membuat bid’ah yang dilarang syarak.

3. Berdasarkan riwayat yang sahih dalam al-Muwata karya al-Imam Malik bin Anas, bilangan rakaat yang Saidina Umar perintah dilaksanakan adalah sebelas rakaat. Kata al-Saib bin Yazid:

Umar telah memerintahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam kepada orang ramai sebanyak sebelas rakaat” (Riwayat Malik).

Maka dengan itu riwayat al-Baihaqi melalui Yazid bin Khasifah daripada al-Saib bin Yazid yang menyebut bilangan yang ‘Umar perintahkan sebanyak dua puluh rakaat adalah bercanggah dengan riwayat sebelas rakaat yang sahih tadi. Sedangkan dari segi kekuatan riwayat, riwayat sebelas rakaat itu lebih kuat, maka riwayat dua puluh dianggap shaz (ganjil) kerana menyanggahi rawi yang lebih kuat.

Justeru, riwayat dua puluh dihukum daif oleh sesetengah ahli hadis. Sebahagian pula menerima riwayat Yazid bin Khasifah dan mentakwilkan bahawa ada hari Umar memerintahkan sebelas rakaat dan ada hari pula yang diperintahkan dua puluh. Apapun, hadis al-Imam Malik tadi yang menyebut sebelas rakaat menafikan dakwaan yang menyatakan sesiapa yang solat tarawih beserta witir sebelas rakaat tidak sah. Itu adalah dakwaan yang melampau dan zalim.

4. Sebenarnya, para ulama salaf solih sendiri berbeza pendapat tentang bilangan rakaat bagi solat tarawih bersama witir. Antaranya, pendapat yang menyatakan empat puluh satu, tiga puluh sembilan, dua puluh sembilan, dua puluh tiga, tiga belas dan sebelas. Adapun dari segi riwayat amalan Nabi S.A.W, Ummul Mukminin Aishah r.aha ditanya mengenai solat Rasulullah S.A.W pada bulan Ramadan, jawab beliau:

Rasulullah S.A.W tidak pernah melebihi sebelas rakaat samada dalam bulan Ramadan ataupun selainnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini juga menunjuk perbuatan mencela solat tarawih sebelas rakaat adalah menyanggahi sunat Nabi s.a.w. Bahkan ramai ulama hadis yang mengutamakan bilangan sebelas rakaat ini sebagai mencontohi Rasulullah S.A.W.

5. Saya bersetuju dengan pendapat bahawa tiada had rakaat yang ditetapkan oleh Nabi S.A.W. dalam hal ini. Seseorang beribadah berdasarkan kemampuannya. Nabi S.A.W tidak pernah menetapkan, bahkan memberikan keluasan dalam hal tersebut dengan menyatakan solat malam dua rakaat, dua rakaat sehingga apabila hendak masuk subuh berwitirlah. Lajnah Tetap dan Kajian Ilmiah serta Fatwa, Arab Saudi sendiri ketika mengulas hal menyebut:

Tiada menjadi salah untuk menambah lebih dari sebelas kerana Nabi s.a.w tidak pernah menghadkannya sedikit pun. Bahkan apabila ditanya tentang solat malam baginda menyebut: “Dua rakaat, dua rakaat (secara dua rakaat setiap solat), jika seseorang kamu bimbang masuk waktu subuh, maka solatlah satu rakaat sebagai witir kepada apa yang telah dia solat sebelum” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis ini baginda tidak menghadkan sebelas atau selainnya. Ini menunjukkan ada keluasan dalam solat malam pada Bulan Ramadan atau selainnya”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/195, Riyadh: Riasah Idarah al-Buhuth).

6. Adapun dakwaan bahawa sesiapa yang tidak berselawat semasa solat tarawih sesat maka itu adalah dakwaan yang melampau. Apakah beliau ingin menyatakan seluruh dunia Islam yang sebahagian besarnya tidak berselawat, termasuk Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi itu sesat?!

Selawat beramai-ramai semasa solat tarawih itu tidak dilakukan di zaman Saidina Umar, juga khalifah al-Rasyidin yang lain. Jika pada zaman Saidina Umar dan Saidina Uthman mereka bersalawat dan menyebut nama khalifah-khalifah selepas Nabi S.A.W seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak di negara ini, tentulah para sahabat tidak tertanya-tanya lagi siapakah bakal mengganti kedua khalifah tersebut selepas kewafatan mereka. Tentu tiada perbincangan lagi dalam menentukan para khalifah semasa zaman sahabah. Ini menunjukkan hal ini tidak dilakukan oleh para sahabah. Mencontohi Nabi S.A.W dan para sahabah dalam ibadah adalah paling baik dan selamat.

7. Di sana ada riwayat yang sahih

Bahawa Nabi S.A.W berwitir dengan membaca Surah al-A’la, al-Kafirun dan al-Ikhlas. Baginda menyebut selepas member salam Subhana al-Malik al-Quddus sebanyak tiga kali dengan memanjang dan mengangkat suara baginda” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud dan Ahmad).

Maka, jika kita mencontohi perbuatan tersebut, ia merupakan sunnah.

Sumber : Di sini.

August 13, 2010

Diam Kerana Allah

Assalamualaikum.

Apa yang anda lakukan sekiranya anda sedang bertengkar mulut atau berdebat dengan orang yang jahil sehingga perdebatan tersebut jadi hilang hujung pangkalnya? 'Tension' bukan?

Namun begitu, ada jalan penyelesaiannya. Tapi, apa dia?

Jawapannya adalah, diam.

Ingin saya kongsi sedikit tulisan daripada Ustaz Hasrizal yang saya petik dari blognya.

"Teringat saya kepada sebuah peristiwa di zaman Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

Sa’eed bin Musayyeb berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk-duduk bersama dengan para Sahabat. Muncul seorang lelaki lalu dia mencela dan memaki hamun Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu hingga menyebabkan Abu Bakr ‘sakit’ mendengarnya. Tetapi Abu Bakr terus mendiamkan diri. Lelaki itu meneruskan lagi celaan dengan bahasa yang lebih kasar terhadap Abu Bakr, namun beliau masih terus mendiamkan diri. Masuk kali ketiga, apabila lelaki itu terus menyakiti Abu Bakr dengan lisannya, Abu Bakr bingkas mahu menjawab balik.

Lalu Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bangun. Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu bertanya: apakah engkau marah denganku wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Tidak. Cuma semasa kamu mendiamkan diri, Malaikat turun dari Langit bertindak terhadap kata-kata lelaki itu. Tetapi sebaik sahaja kamu mula membalas cacian lelaki itu, Malaikat melarikan diri lalu Syaitan datang dan duduk. Aku tidak boleh duduk di tempat yang Syaitan duduk di situ. [ Hadith riwayat Abu Dawud]

Diam bukan mengalah.

Ia cara mencari Rahmah.

Mendekatkan diri kepada Allah."

Belum masanya, biar jadi 'Gay' atau 'Lesbian'

SEORANG PEREMPUAN
  • Seorang perempuan yang tidak bermanja dengan ibubapa dan rakan-rakan perempuannya akan cenderung bermanja dengan insan bernama lelaki.
  • Seorang perempuan yang tidak mengadu dengan ibubapa dan rakan-rakan perempuannya akan cenderung mengadu pada insan bernama lelaki.
  • Seorang perempuan yang tidak rapat dengan kawan-kawan perempuan akan cenderung berasa sunyi dan ingin disayangi oleh insan bernama lelaki.
  • Seorang perempuan yang ‘kuat dalaman’nya juga akan tersentuh hati dan jiwanya jika yang mengambil berat tentang dirinya adalah insan bernama lelaki.
  • Seorang perempuan yang ‘kuat dalaman’nya juga mempunyai naluri untuk dilindungi dan disayangi insan bernama lelaki.
  • Jika perempuan tidak melepaskan fitrahnya (bermanja, mengadu, bercerita dan berkongsi masalah) kepada sesama kawan-kawan perempuannya, dia akan cenderung di’tackle’ oleh insan bernama lelaki.
  • Wahai kaum Hawa, bermanjalah dengan ibubapa dan sesama Hawa. Jangan dihirau orang berkata-kata.
  • Wahai kaum Hawa, mengadulah cerita pada sesama Hawa. Jangan malu untuk menangis dan berkongsi tawa.
  • Wahai kaum Hawa, jagalah dirimu sebelum lelaki menindas perasaan dan jiwa.
  • Serahkan segalanya pada insan bernama suami sahaja.

ADA PERBEZAAN KETARA ANTARA HUBUNGAN ADAM-ADAM DAN HAWA-HAWA.

  • Jika Adam-Adam bermesra dan rapat berkongsi cerita, mereka dianggap ‘tidak normal’ dan gila. Atau mungkin istilah yang lebih tepat, “GAY” dan sebagainya.
  • Jika Hawa-Hawa bermesra dan berpeluk tawa, mereka dianggap adik-beradik yang bahagia.
  • Jika Adam-Adam berjalan berdua ke sini dan ke sana, mereka dianggap ‘tidak normal’, ‘GAY’ dan sebagainya.
  • Jika Hawa-Hawa berkepit berdua ke sini dan ke sana, mereka dianggap ‘sweet’, comel dan sebagainya.
  • Jika Hawa-Hawa boleh gembira tanpa lelaki di sisi mereka, kenapa Adam-Adam tidak boleh ‘santai sahaja’ tanpa perempuan di sisi mereka?

KENAPA?

  • Anda telah memaksa Adam mencari Hawa! Bosan dengan Hawa pertama, Adam cari Hawa yang seterusnya!
  • Anda telah memaksa Adam mencari pasangannya, walaupun Adam belum mahu berkahwin dan berumahtangga!
  • Anda telah memaksa Adam korbankan masa lelakinya, kerana dia terpaksa melayan dan memberi kepada Hawa!

Sumber : Di sini.

Janganlah Buruk Sangka

Dalam peluang kali ini saya ingin berkongsi sebuah nasihat dari al-Qur’an, iaitu ayat 12 surah al-Hujurat. Dalam ayat tersebut Allah SWT berfirman, maksudnya:


Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.


Ayat ini Allah mulai dengan seruan “Wahai orang-orang yang beriman… bererti ia ditujukan kepada kita semua mukminin dan mukminat. Tentu sahaja seruan ini memiliki nilai nasihat yang penting sesudahnya, sekali gus membangkitkan perhatian kita semua. Nasihat itu ialah: Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.


Sumber : Di sini.

Bila nak betul-betul dewasa?

KITA MENJADI KANAK-KANAK TERLALU LAMA

Salam.

Lihat kepada sejarah, pada usia apakah tokoh-tokoh sanjungan kita berhenti menjadi kanak-kanak?

Anas bin Malik sudah meriwayatkan hadis seawal usia sepuluh tahun, mungkin lebih awal. Ali ibn Abi Talib memeluk Islam juga sekitar usia sejagung itu dan menggadai nyawa di katil Nabi sewaktu usianya sebaya anak-anak mentah hari ini di universiti. Ketika usianya pun sepuluh tahun, Usamah bin Zaid barangkali merajuk muncung-muncung kerana tidak dibenarkan memikul pedang ke medan Uhud. Namun cepat ditebus kehampaan itu dalam Perang Khandak lima tahun kemudian, dan waktu baru-baru mencecah usia dua puluh, anak muda ini sudah mengepalai angkatan perang ke negara Syam melanyak tentera Romawi.

Anak-anak muda yang diabadikan dalam surah al-Kahfi, berapa agaknya usia mereka?

"Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran.." - Al-Kahf, [18:13-14]

Imam as-Syahid Hassan al-Banna sudah berdemonstrasi menyuarakan penentangan terhadap pemerintahan British ketika berusia 13 tahun. Sembilan tahun kemudian, dalam usia 22 tahun, pertubuhan Ikhwanul Muslimin diasaskan. Dan selanjutnya adalah sejarah, bukan?

Saiyidatina Aisyah r.a., menurut banyak riwayat, menjadi isteri Nabi Muhammad S.A.W. ketika usianya masih begitu kecil. Tentunya dalam usia yang begitu muda juga, berterusan ke akhir hayatnya, bonda kita ini telah menyampaikan pula ilmu-ilmu yang dipelajari langsung daripada suaminya Junjungan yang Mulia kepada para sahabat dari jauh dan dekat.

Berapa pula usia Nabi Muhammad S.A.W. ketika menerima lamaran Saiyidatina Khadijah? (Yang tentu sahaja dalam keadaan sudah dewasa oleh pengalaman, matang bekerjaya, dengan akhlak dan wibawa yang diperakui rata-rata.) 25 tahun. Barangkali sebaya usia kita yang masih terkial-kial selepas keluar universiti, terkebil-kebil berhadapan dengan dunia nyata yang rupa-rupanya tidak sama dengan apa yang dikhayal-khayalkan sewaktu di menara gading dahulu.

Kita, jika dibandingkan dengan generasi terdahulu, menjadi kanak-kanak terlalu lama.

Seolah-olah hidup ini terlalu panjang untuk dihabiskan dalam alam bermain-main. Konon masih terlalu muda, belum dewasa.

Mungkin boleh dimaafkan jika sewaktu berusia 6-7 tahun kita masih sibuk bermain pondok-pondok di dalam semak atau menggetis keropok Golden Ring, bersenja dengan padang bola atau menonton kartun sebelum dikerah ibu pergi mandi. Solat ikut-ikutan sahaja, yang lelaki sesekali mengikut bapa ke masjid, mungkin diajar melaungkan bang sebelum berlari ke saf belakang.

Mungkin boleh dimaafkan, kalau ketika itu, kita masih belum mengenal Tuhan, belum peduli tentang dosa atau pahala.

Mungkin boleh dimaafkan jika sewaktu berusia sepuluh tahun kita masih leka dengan komik dan anak patung, atau ralit menonton rancangan nyanyian kanak-kanak bermekap tebal di TV9.

Mungkin boleh dimaafkan, kalau ketika itu, kita masih belum tahu apa itu Islam, apa itu iman, apatah lagi tentang dakwah, jihad, dan pengorbanan. Tentang perjuangan yang sudah menjadi zikir pada lidah dan anggota generasi terdahulu ketika meniti usia yang sama.

Namun masihkah boleh dimaafkan, jika kita sekarang, yang berusia belasan tahun - awal belasan, pertengahan, dan penghujung belasan - menghabiskan waktu bercinta-cintaan, patah hati dan jatuh hati berkali-kali dalam masa kurang satu bulan, menggilai artis pujaan, meratap-ratap apabila calon bintang tersingkir daripada rancangan realiti TV kegemaran, memastikan diri up-to-date dengan gaya paling terkini (tudung pelbagai fesyen, gaya rambut yang disembur dan dilumur gel, kemeja T dan jeans berjenama, mekap dan wangi-wangian yang sepadan), dan apabila ditanya tentang isu semasa, perihal agama, atau masalah dunia, mengangkat bahu tidak ambil tahu.

Sedangkan generasi terdahulu yang sebaya itu sudah berhenti menyangka hidup mereka terlalu panjang. Sudah sedar bahawa makna hayat adalah dengan berjuang. Sudah mengerti bahawa tanggungjawab terlalu banyak untuk ditanggung dan dipegang. Umur belasan tahun adalah umur baligh, bererti umur bilamana dosa dan pahala sudah dipikul sendiri.

Namun kita masih bermain-main - masih mahu menjadi kanak-kanak.

Setelah berusia dua puluhan pun - 20, 21, 22, 23... kita masih menjadi kanak-kanak. Kita terpesona benar dengan keindahan-keindahan dunia - harta, hiburan, lelaki dan perempuan - seperti kanak-kanak yang leka dengan permainannya. Lalu kita bermain, dan bermain, dan menyuakan pelbagai alasan apabila diajak untuk menjadi dewasa.

Ajakan itu datang daripada pelbagai punca. Teman-teman yang sudah meninggalkan alam kanak-kanak, guru-guru yang sudah lama menjadi dewasa, atau suara hati sendiri yang merasakan sudah terlalu jauh beza antara kematangan dan usia. Namun, kita masih berpura-pura tidak sedar, seperti kanak-kanak yang meminta tangguh apabila disuruh ibu untuk mandi setelah senja tiba.

Meminta tangguh, belum mau menjadi dewasa, belum mau sedar dan bekerja, kerana belum bersedia. Meminta tangguh daripada siapa sebenarnya? Malaikat Maut?

Benarlah kata Tuhan dalam al-QuranNya,

"Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sendagurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu" Surah al-Hadid, [57:20]


Apabila dibanding-bandingkan dengan zaman datuk, nenek, dan moyang, tidak dapat tidak, saya terfikir bahawa budaya dan kebiasaan kita, semakin menjadi moden, semakin mengkanak-kanakkan manusia. Semakin moden satu bangsa, semakin lama waktu yang diperuntukkan untuk anak-anaknya menjadi dewasa. Anak-anaknya diizinkan menjadi kanak-kanak lebih lama. Adakah kerana terlalu banyak yang perlu dipelajari, maka tempoh 'matang' itu diperpanjang? Adakah kerana jangka hayat yang bertambah, maka lebih banyak usia boleh dihabiskan bersenang-senang?

Alasan 'belum habis pengajian' itu menjadi syarat pelepasan yang membebaskan setiap 'kanak-kanak' ini daripada sebarang tanggungjawab. Daripada sebarang tanggungjawab selain daripada 'menumpukan perhatian kepada pelajaran'. Tidak boleh melibatkan diri terlalu aktif dengan kegiatan-kegiatan persatuan, apatah lagi gerak kerja Islam, mohon dijauhkan kalau berani-berani menjinakkan diri dengan politik. Alasan 'belum habis pengajian' itu menjadi benteng sehingga 'kanak-kanak' ini bercinta-cintaan memendam rasa bertahun-tahun kerana tidak dibenarkan berkahwin. Lalu tidak sedikit yang menjadi mangsa, 'kanak-kanak' yang hilang kesucian, maruah dilepaskan, menjadi ayah dan ibu tanpa pentauliahan, tanpa ikatan.

Menjadi dewasa dan matang adalah kewajiban, adalah tuntutan, juga adalah fitrah yang tidak sepatutnya dihalang-halang.

Sampai bila mahu menjadi kanak-kanak? Terkepung dalam dunia indah universiti, dunia riang-ria warna-warni di puncak menara gading, berlari-lari dalam taman bunga bersama sweetheart, sehinggalah 'menerima segulung ijazah', selepas itu automatik akan menjadi dewasa? Bukankah menjadi dewasa itu memerlukan latihan, memerlukan bimbingan? Sempatkah kita belajar menjadi dewasa dalam kesibukan membina kehidupan selepas tamat pengajian, atau mungkinkah kita akan terus menjadi kanak-kanak juga hatta selepas meniti alam kerjaya, alam perkahwinan, dan melahirkan pula anak-anak yang tidak akan menjadi dewasa sampai bila-bila?

Saya bukanlah bermaksud menyeru sesiapa saja yang mahu melakukan apa-apa untuk bertindak sesuka hati, hanya kerana 'mahu menjadi dewasa'. Tidaklah, contohnya, menyeru sesiapa yang mahu berkahwin sebelum tamat pengajian, merempuh apa saja rintangan semata-mata untuk memenuhi tuntutan fitrah.

Kalau kamu masih kanak-kanak, maka melakukan perbuatan orang dewasa tidak akan menjadikan kamu orang dewasa.

Kalau kamu - saya, kita - belum layak berkahwin, maka memaksa diri untuk mendirikan rumahtangga tidak akan tiba-tiba menjadikan kita matang dan bijaksana.

Soalnya di sini, mengapakah bangsa kita, zaman kita, generasi kita - mungkin generasi orang tua kita - mengizinkan, membiarkan, kita, menjadi kanak-kanak begitu lama?

Kesegaran dan kesuburan akal, semangat, dan iltizam menyebabkan usia anak-anak muda adalah usia terbaik untuk membentuk, menghasilkan, dan menggerakkan pejuang. Namun kita membiarkan usia muda itu habis dengan bermain-main dan bersukaria.

Tuntutan fitrah dan biologi mewaraskan anak-anak muda mendirikan rumahtangga dan membina keluarga pada usia awal - tidak terlalu awal, namun tidak pula melangkaui pertengahan dua puluhan. Namun kita membiarkan usia muda itu habis dengan bersenda gurau dan bergelak ketawa, bukannya mendidik dan membentuk mereka seawal mungkin untuk bersedia menjadi isteri dan suami, ibu dan bapa. Anak-anak muda ini diajar segala macam pengetahuan yang wajib dikhatamkan sebelum dibenarkan menjadi dewasa - segala macam pengetahuan, kecuali pengetahuan tentang menguruskan diri dan membina keluarga.

Menjadi kanak-kanak memang seronok. Kita dilepaskan daripada tanggungjawab. Hidup kita adalah bermain-main, berfantasi, sesekali beridealisme dan berdebat tentang itu dan ini. Teori dan kerja kanak-kanak tidak ubah seperti skrip permainan askar lawan penjahat atau 'rumah' untuk bermain pondok-pondok, yang dibina daripada ranting dan daun-daun kering. Sesekali watak Power Rangers, Cinderella atau Prince Charming akan tambah menceriakan suasana, dan kita merasakan betapa menjadi kanak-kanak sungguh bahagia.

Masyarakat, sistem, malah keluarga kita sendiri memberikan bermacam-macam alasan untuk kita terus menjadi kanak-kanak dan lari daripada kewajiban, daripada kedewasaan, untuk kita mengelak daripada mempersiapkan diri menuju kedewasaan.

Kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum baligh, insyaAllah akan meluncur laju ke syurga.

Bagaimana pula dengan 'kanak-kanak' tua yang usianya tamat, usianya renta, sebelum sempat menjadi dewasa, kerana terpesona dengan alasan yang dicipta oleh masyarakat, dicipta oleh sistem, dicipta oleh diri sendiri?

Terlalu panjangkah usia, sehingga mahu berlama-lama menjadi kanak-kanak yang ralit dengan permainan-permainan dunia?

"Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik" Surah Ali Imran, [3:14]

Sumber : Di sini.

August 9, 2010

Analogi Rumput Dan Kasih Sayang

Pada suatu pagi di satu sekolah menengah, ada seorang pelajar bertanya pada seorang Ustaz yang sedang mengajar. Ketika itu, Ustaz tersebut sedang menyentuh mengenai kasih dan sayang secara am. Dialog di antara pelajar dan Ustaz tersebut berbunyi begini :

Pelajar : Ustaz, macam mana kita nak pilih seseorang yang terbaik sebagai orang paling kita sayang? Macam mana juga kasih sayang itu nak berkekalan?

Ustaz : Oh, awak nak tahu ke? Hmm. Baiklah, sekarang kamu buat apa yang saya suruh. Ikut sahaja. Mungkin kamu akan dapat apa jawapannya.

Pelajar : Baiklah. Apa yang saya harus buat?  

Ustaz : Kamu pergi ke padang sekolah yang berada di luar kelas sekarang juga. Kamu berjalan di atas rumput di situ dan sambil memandang rumput di depan kamu, pilih mana yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Dan kamu petiklah rumput yang paling cantik yang berada di depan kamu tersebut dan selepas itu bawa balik ke kelas.

Pelajar : Ok. Saya pergi sekarang dan buat apa yang Ustaz suruh.

Apabila pelajar tersebut balik semula ke kelas, tiada pun rumput yang berada di tangannya. Maka Ustaz pun bertanya kepada pelajar tersebut.

Ustaz : Mana rumput yang saya suruh petik?  

Pelajar : Oh, tadi saya berjalan di atas rumput dan sambil memandang rumput yang berada di situ, saya carilah rumput yang paling cantik. Memang ada banyak yang cantik tapi Ustaz kata petik yang paling cantik maka saya pun terus berjalan ke depan sambil mencari yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi sampai di penghujung padang, saya tak jumpa pun yang paling cantik. Mungkin ada di antara yang di belakang saya sebelum itu tapi dah Ustaz cakap tak boleh menoleh ke belakang semula, jadi tiadalah rumput yang saya boleh petik.

Ustaz : Ya, itulah jawapannya. Maknanya, apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita hendak mencari lagi yang lebih baik daripada itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan kita sebaik-baiknya. Janganlah kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap dah berlaku. Dan semoga yang berlalu tidak lagi berulang. Jika kita berselisih faham dengan orang yang kita sayang itu, kita boleh perbetulkan keadaan dan cuba teruskan perhubungan tersebut walaupun banyak perkara yang menggugat perhubungan tersebut. Dan ingatlah orang yang kita sayang itulah kita jumpa paling cantik dan paling baik pada mulanya walaupun nak ikutkan banyak lagi yang cantik dan baik seperti rumput tadi. Kecualilah jika perhubungan tersebut tak boleh diselamatkan lagi, maka barulah kita mulakan sekali lagi. Maka sayangilah orang yang berada di depan kita dengan tulus dan ikhlas. Maka, bersyukurlah dengan kasih-sayang yang antum terima pada hari ini, kerana jika antum meninggalkannya, mungkin kasih sayang itu tidak akan kembali seperti sediakala. Sedarlah wahai insan, kasih sayang Allah SWT itulah yang paling hakiki, jika antum memalingkan diri dari kasihnya, maka antum adalah serugi-rugi manusia.

"Jika seseorang hamba Allah menahan keinginannya dari sesuatu yang haram (kerana Allah) maka Allah akan memberikan sesuatu yang diingininya itu mengikut jalan yang halal"