November 19, 2011

Pindah.

Salam. Blog saya dah berpindah ke meismadi.blogspot.com. TQ.

February 22, 2011

Ijma' Ulama'

Assalamualaikum w.b.t.

Seperti yang kita semua tahu, Islam itu dibina di atas dalil al-Quran dan as-Sunnah. Kita juga tahu sumber rujukan dalam Islam ada empat iaitu:

  1. al-Quran
  2. as-Sunnah
  3. Ijma' Ulama'
  4. Qias
Saya rasa semua orang tahu apa itu al-Quran dan as-Sunnah. Mungkin ada juga tidak tahu apa itu Ijma' Ulama'.

Ijma' Ulama'


Saya rasa mungkin ramai yang kurang faham atau salah faham tentang istilah Ijma' Ulama' ini sehingga ada yang menyalahgunakan istilah ini hanya untuk menang dalam hujah mereka. Kebanyakkan orang akan faham bahawa Ijma' Ulama' ini bermaksud persetujuan Ustaz-ustaz, Ulama'-ulama', Tok guru-tok guru dan lain-lain. Ada juga yang menyatakan ia sebagai jumhur ulama' atau kata majoriti ulama'.


Definisi Ijma' Ulama':


“Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad SAW, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak”. (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr).


Siapa ahli ijtihad?


Ahli ijtihad ialah orang yang sepeti Imam as-Syafie', Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Mereka ini ialah orang yang boleh berijtihad sendiri tanpa bergantung pada mana-mana mazhab.

Ustaz-ustaz, Ulama'-ulama', Tok guru-tok guru bukanlah para mujtahidin, tapi mereka adalah para mukallidin. Mukallidin ialah orang yang mengikut sesuatu atau mana-mana mazhab yang ada. Kesepakatan mereka tidak dinamakan Ijma'. Sekiranya seluruh mufti-mufti, ulama'-ulama' di Malaysia dan Indonesia bersepakat tentang sesuatu perkara, ia tetap tidak dipanggil ijma' kerana mereka bukanlah mujtahidin bahkan mereka adalah mukallidin.

Bagaimana Ijma' berlaku?

Ijma' berlaku apabila kesemua para mujtahidin yang hidup, yang selalu berbeza pendapat antara satu sama lain, tiba-tiba besepakat dalam sesuatu perkara. Itulah dinamakan Ijma'. Namun begitu, bukanlah mudah untuk mendapatkan Ijma'. Sekiranya terdapat 100 orang ahli ijtihad, 99 orang bersepakat dan 1 orang tidak, ia tidak menjadi Ijma'.

Kerana kesukaran ini, Imam Ahmad terkenal dengan kata-katanya menyatakan, “Sesiapa yang mendakwa ijmak, maka dia telah berdusta”.

Bukanlah maksud beliau untuk menidakkan ijma' tetapi kesukaran untuk mencapai ijma' itu sendiri. Namun, begitu mudah untuk kita mendengar perkataan ijma' oleh golongan agama dalam hujah atau ceramah mereka sedang mungkin mereka tidak tahu maksud sebenar ijma' itu sendiri.

December 13, 2010

Salam Maal Hijrah!

Assalamualaikum! Apa khabar semua?

Salam Maal Hijrah buat semua Muslimin dan Muslimat sekalian. Harapnya, tahun yang baru ini adalah jauh lebih baik dari tahun yang lepas. Insya'Allah.

Apa itu hijrah?

Dari segi bahasa bermaksud perpindahan dari satu tempat ke satu tempat. Dari segi istilah pula ialah penghijrahan Nabi SAW dan umat Islam dari Mekah ke Madinah kerana perintah Allah SWT.

Apa kaitan bulan Muharram dan hijrah Nabi SAW? Apakah Nabi SAW berhijrah pada bulan Muharram?

Tidak. Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

Bagaimana terjadinya kalendar Islam atau Hijrah ini?

Tahun Hijrah atau kalendar Islam sebenarnya bermula pada zaman Saidina Umar al-Khattab r.a, bukannya zaman Nabi SAW.

Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:


Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orangramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).


Apakah ada doa khusus pada awal Muharram?


Tidak ada. Adapun masyarakat kita sering diajarkan dengan doa awal tahun dan doa akhir tahun, tiada dalil al-Quran dan Sunnah mengenainya dan ianya tidak pernah dibuat oleh Nabi SAW. Hal ini kerana, ketika zaman Nabi SAW, tahun Hijrah belum pun wujud kerana ia bermula pada zaman Saidina Umar al-Khattab r.a. Justeru, sudah tentu tiadanya doa khusus seperti itu.


Salahkah berdoa?


Tak salah. Sebab Allah SWT ada berfirman:


"Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu". Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu (berdoa kepadaKu) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina. [al Ghafir, 40:60]


Mesejnya disini ialah doa tersebut tidaklah seharusnya dijadikan satu amalan yang dilakukan hanya kerana datangnya tahun baru. Lebih-lebih lagi kononya ia doa dari Rasulullah SAW dan mempunya fadhilat-fadhilat tertentu sedangkan tiada sebarang dalil yang menyokongnya. Jangan kita lupa akan hadis Nabi SAW:


“Sesungguhnya benar-benar hadith(percakapan) itu ialah kitab Allah. Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad saw. Manakala sejahat-jahat urusan itu ialah yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah manakala setiap bid’ah adalah sesat.” Hadis riwayat Muslim


Apakah ada amalan pada bulan Muharram?


Ada. Buktinya adalah berdasarkan hadis ini:


صوم يوم عرفة يُكفِّر سنتين: ماضية ومستقبلة، وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية

"Puasa pada hari Arafah menghapuskan (dosa) 2 tahun : yang lepas dan yang akan datang, dan puasa pada hari 'Asyura' menghapuskan (dosa) setahun yang lepas" -[Hadith diriwayatkan oleh semua kecuali al-Bukhari dan Tirmudzi, Nailul Authar, 4/323].


Kesimpulannya, janganlah kita cepat mengambil sesuatu ajaran atau amalan tanpa menyelidik sumber dan kesahihan amalan itu sendiri. Beramal mengikut cara Nabi SAW adalah jalan yang terbaik. Hal ini kerana, Nabi SAW pernah bersabada:


“Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama ini maka dia tertolak” [HR Muslim]

September 18, 2010

Apa itu sembelihan Ahli Kitab?

Assalamualaikum. Entry kali ini saya nak kongsi sedikit tentang sembelihan Ahli Kitab. Siapa Ahli Kitab? Halal ke sembelihan mereka? Siapa Ahli Kitab?

Ahli Kitab adalah sebutan dalam untuk kaum beragama Nasrani (Kristian) dan Yahudi. Dinamakan demikian kerana pada keduanya menurut ajaran Islam, Allah menurunkan Kitab Taurat melalui Nabi Musa a.s dan Injil melalui Nabi Isa a.s. Dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW dan diturunkannya Al-Quran, ahli kitab ini ada yang menerima dan ada yang menolak kerasulan Muhammad SAW ataupun kebenaran Al-Quran dari Allah.


Sembelihan Ahli Kitab halal?


Ya. Berdasarkan dalil dari al-Quran :

وَطَعَامُ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ حِلٌّ۬ لَّكُمۡ


"Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu." - Al Maidah ayat 5.


Petikan dari Kitab Halal Wa Haram oleh Dr Yusoff Al-Qaradhawi.


Kita tahu bagaimana Islam memperkeras persoalan penyembelihan dan menganggap penting persoalan ini. Hal ini adalah kerana orang-orang musyrik Arab dan pengikut-pengikut agama lain telah menjadikan penyembelihan termasuk persoalan ibadah, bahkan masuk persoalan keyakinan dan dasar kepercayaan agama. Oleh kerana itu menyembelih, mereka jadikan sebagai sesuatu cara untuk berbakti kepada tuhannya, maka disembelihnya binatang untuk berhala atau dengan menyebut nama tuhannya. Kemudian datanglah Islam menghapus cara-cara ini dan mewajibkan untuk tidak menyebut kecuali asma’ Allah, serta mengharamkan binatang yang disembelih untuk berhala dan dengan menyebut nama berhala.


Kemudian setelah ahli kitab yang semula adalah bertauhid itu telah banyak dipengaruhi oleh perasaan-perasaan syirik dan samasekali tidak melepaskan dari kesyirikanriya yang dulu-dulu, sehingga sementara orang Islam menganggap, bahawa mereka tidak boleh lagi bergaul dan bertemu dengan mereka sebagaimana halnya terhadap orang-orang musyrik lainnya, maka Allah memberikan perkenan (rukhsah) kepada mereka untuk makan makanan ahli kitab sebagaimana halnya dalam persoalan-persoalan perkawinan. Hal ini ditegaskan Allah dalam firmanNya yang merupakan ayat terakhir, iaitu:


Hari ini dihalalkan yang baik-baik buat kamu dan begitu juga makanan orang-orang yang pernah diberi kitab (ahli kitab) adalah halal buat kamu, dan sebaliknya makananmu halal buat mereka.” al-Maidah ayat 5


Maksud ayat di atas secara ringkas: bahawa hari ini semua yang baik, halal buat kamu, kerana itu tidak ada lagi apa yang disebut: Bahirah, saibah, washilah dan ham. Dan makanan ahli kitab pun halal buat kamu sesuai dengan hukum asal dimana samasekali Allah tidak mengharamkannya, dan sebaliknya makananmu pun halal buat mereka. Jadi kamu boleh makan binatang yang disembelih dan diburu oleh ahli kitab, dan sebaliknya kamu boleh memberi makan ahli kitab dengan binatang yang kamu sembelih atau yang kamu buru.


Islam bersifat keras terhadap orang musyrik tetapi terhadap ahli kitab sangat lunak dan mempermudah, kerana mereka ini lebih dekat kepada orang mu’min, sebab sama-sama mengakui wahyu Allah, mengakui kenabian dan dasar-dasar agama secara global. Justru itu pula kita dianjurkan untuk menaruh mawaddah terhadap mereka, boleh makan makanan mereka, boleh kawin dengan perempuan-perempuan mereka dan bergaul dengan baik bersama mereka. Sebab kalau mereka itu sudah bergaul dengan kita dan memeluk Islam dengan penuh keyakinan dan kesedaran, mereka pun akan tahu bahawa agama kita itu justru agama mereka juga dalam pengertian yang lebih tinggi, lebih sempurna bentuk-bentuknya dan lebih bersih lembaran-lembarannya dari segala macam bid’ah, kebatilan dan persekutuan.


Perkataan makanan ahli kitab adalah suatu ungkapan yang bersifat umum, meliputi seluruh macam makanan: sembelihannya, biji-bijiannya dan sebagainya. Semua ini halal buat kita, selama barang-barang tersebut tidak termasuk kategori haram, kerana zatnya seperti darah, bangkai dan daging babi. Semua ini tidak boleh kita makan dengan ijma’ ulama, baik barang-barang tersebut makanan ahli kitab ataupun milik orang muslim.


Sampai di sini selesailah perbincangan kita tentang masalah binatang yang halal dan haram. Sekarang tinggal yang perlu untuk diterangkan kepada orang-orang Islam beberapa masalah yang sangat penting iaitu:


Binatang yang Disembelih Untuk Gereja dan Hari-Hari Besar


Masalah pertama:


Apabila tidak terdengar suara dari ahli kitab itu sebutan nama selain Allah, misalnya: Nama al-Masih dan Uzair ketika menyembelih, maka makanannya tersebut tetap halal buat orang Islam. Tetapi kalau sampai terdengar suara penyebutan nama selai n Allah, maka dari kalangan ahli fiqih ada yang mengharamkannya kerana termasuk apa yang disebut uhilla lighairillah (yang disembelih bukan kerana Allah). Tetapi sementara ada juga yang berpendapat halal.


Abu Darda’ pernah ditanya tentang kambing yang disembelih untuk suatu gereja yang disebut jurjas, binatang itu mereka hadiahkan buat gereja tersebut, apakah boleh kita makan? Maka jawab Abu Darda’: “Boleh.” Sebab mereka itu adalah ahli kitab yang makanannya sudah jelas halal buat kita, dan sebaliknya makanan kita pun halal buat mereka. Kemudian Abu Darda’ menyuruh memakannya [6].


Imam Malik pernah ditanya tentang sembelihan ahli kitab untuk hari-hari besar dan gereja mereka, maka kata Imam Malik: Aku memakruhkannya dan aku tidak menganggapnya haram.


Imam Malik memakruhkannya, kerana termasuk dalam kategori wara’ (berhati-hati supaya tidak jatuh ke dalam maksiat) kerana khuwatir kalau-kalau dia itu termasuk ke dalam apa yang disebut binatang yang disembelih bukan kerana Allah. Dan ia tidak mengharamkan, kerana arti dan maksud apa yang disembelih bukan kerana Allah itu menurut pendapatnya, sepanjang yang dinisbatkan kepada ahli kitab, iaitu yang disembelih untuk bertaqarrub kepada Tuhan sedang mereka (ahli kitab) itu sendiri tidak memakannya. Dan apa yang disembelih dan dimakan adalah termasuk makanan mereka, sedang dalam hal ini Allah telah menegaskan: “Bahawa makanan ahli kitab itu halal buat kamu.”


Sembelihan yang Dilakukan Oleh Ahli Kitab dengan Tenaga Elektrik dan Sebagainya


Masalah kedua:

Apakah penyembelihan mereka itu dipersyaratkan seperti penyembelihan kita juga, iaitu dengan pisau yang tajam dan dilakukan pada leher binatang?


Kebanyakan para ulama berpendapat demikian. Tetapi menurut fatwa pengikut-pengikut madzhab Imam Malik, bahawa yang demikian itu tidak termasuk persyaratan.


Al-Qadhi Ibnu Arabi berkata ketika menafsiri ayat 5 surah al-Maidah itu sebagai berikut: Ini suatu dalil yang tegas, bahawa binatang buruan dan makanan ahli kitab itu adalah termasuk makan yang baik-baik (thayyibaat) yang telah dihalalkan Allah dengan mutlak. Allah mengulang-ulanginya itu hanyalah bermaksud untuk menghilangkan keragu-raguan pertentangan-pertentangan yang timbul dari perasaan-perasaan yang salah, yang memang sering menimbulkan suatu pertentangan dan memperpanjang omongan.


Saya pernah ditanya tentang seorang Kristian yang membelit leher ayam kemudian dimasaknya, apakah itu boleh dimakan atau diambil sebahagian daripadanya sebagai makanan? Maka jawab saya: Boleh dimakan, kerana dia itu termasuk makanannya dan makanan pendeta dan pastor, sekalipun ini menurut kita tidak termasuk penyembelihan, namun Allah telah menghalalkan makanan mereka itu secara mutlak. Makanan apapun yang dibenarkan oleh agama mereka berarti halal buat kita, kecuali yang memang oleh Allah telah didustakan.


Ulama-ulama kita pernah berkata: Mereka telah menyerahkan perempuan-perempuan mereka kepada kita untuk dikawin dan halal kita setubuhi, mengapa penyembelihannya tidak boleh kita makan, sedang makan tidak sama dengan setubuh, halal dan haramnya. Demikian pendapat Ibnul-Arabi.


Kemudian di tempat lain ia berkata lagi: Mereka tidak makan yang bukan kerana disembelih, misalnya dengan dicekik dan dipukul kepalanya (dengan tidak bermaksud menyembelih, kerana itu binatang tersebut termasuk bangkai yang haram).


Kedua pendapat beliau ini tidak bertentangan, sebab yang dimaksud ialah: Apa yang mereka anggap sebagai penyembelihan, berarti halal buat kita sekalipun menurut kita sembelihannya itu tidak benar. Dan apa yang mereka anggap itu bukan sembelihan, tidaklah halal buat kita.


Dengan demikian, menurut mafhum musytarak apa yang disebut penyembelihan, iaitu bermaksud menyabung nyawa binatang dengan niat untuk halalnya memakan binatang tersebut. Ini adalah pendapat ulama-ulama Malikiyah.


Dengan bercermin kepada apa yang telah kami sebutkan di atas, maka kita dapat mengetahui hukumnya daging-daging yang diimport dari negara-negara yang penduduknya majoritas ahli kitab, seperti ayam, corned sapi, yang semua itu kadang-kadang disembelih dengan menggunakan tenaga elektronik dan sebagainya. Selama binatang-binatang tersebut oleh mereka dianggapnya sebagai sembelihan, maka jelas halal buat kita, sesuai dengan umumnya ayat.


Adapun daging-daging yang diimport dari negara-negara Komunis, tidak boleh kita makan. Sebab mereka itu bukan ahli kitab, bahkan mereka adalah kufur dan anti kepada semua agama dan menentang Allah serta seluruh risalahnya.


Penyembelihan Orang Majusi dan Sebagainya


Para ulama berbeza pendapat tentang penyembelihan orang Majusi. Kebanyakan mereka berpendapat tidak boleh memakannya kerana mereka termasuk orang musyrik. Sedang yang lain berpendapat halal kerana Nabi s.a.w. pernah bersabda:


Perlakukanlah mereka itu seperti perlakuan terhadap ahli kitab.” (Riwayat Malik dan Syafi’i)

Dan Nabi sendiri pernah menerima upeti dari Majusi Hajar. (Riwayat Bukhari).


Oleh kerana itu, Ibnu Hazim berkata di bab penyembelihan dalam kitabnya Muhalla: “Mereka itu adalah ahli kitab, oleh kerana itu mereka dihukumi seperti hukum yang berlaku untuk ahli kitab dalam segala hal.” (Lihat juz 7: 456) [7].


Dan shabiun (penyembah binatang) oleh Abu Hanifah dianggap sebagai ahli kitab juga [8].

Kaidah: “Apa Yang Ghaib Bagi Kita, Jangan Kita Tanyakan”


Tidak menjadi kewajiban seorang muslim untuk menanyakan hal-hal yang tidak disaksikan, misalnya: Bagaimana cara penyembelihannya? Terpenuhi syaratnya atau tidak? Disebut asma’ Allah atau tidak? Bahkan apapun yang tidak kita saksikan sendiri tentang penyembelihannya baik dilakukan oleh seorang muslim, walaupun dia bodoh dan fasik, ataupun oleh ahli kitab, semuanya adalah halal buat kita.


Sebab, seperti apa yang telah kita sebutkan di atas, iaitu ada suatu kaum yang bertanya kepada Nabi: “Bahawa ada satu kaum yang memberinya daging, tetapi kita tidak tahu apakah disebut asma’ Allah atau tidak. Maka jawab Nabi: Sebutlah asma’ Allah atasnya dan makanlah.” (Riwayat Bukhari).


Berdasar hadis ini para ulama berpendapat, bahawa semua perbuatan dan pengeluaran selalu dihukumi sah dan baik, kecuali ada dalil (bukti) yang menunjukkan rusakan batalnya perbuatan tersebut.


Tambahan dari saya :


Kadang-kadang orang akan cakap Ahli Kitab ini ialah Ahli Kitab yang berpegang kepada kitab Taurat dan Injil yang asal.


Kita jawab,


Kalaulah Ahli Kitab ini berpegang kepada kitab yang asal, tak jadi Ahli Kitablah mereka. Sudah tentu mereka ini ikut Islam. Sebab kitab yang terdahulu membenarkan isi al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad SAW.


Allah SWT juga mengutuk Ahli Kitab dalam al-Quran :


فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَـٰذَا مِنْ عِندِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۖ فَوَيْلٌ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ وَوَيْلٌ لَّهُم مِّمَّا يَكْسِبُونَ

"Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis Al Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya: “Ini dari Allah”, untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan besarlah bagi mereka, karena apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan besarlah bagi mereka, karena apa yang mereka kerjakan." - Al-Baqarah ayat 79


"Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam, padahal Al Masih (sendiri) berkata: Hai Bani Israel, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu." - al-Maidah ayat 72


"Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang zalim itu seorang penolong pun. Sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan: Bahawasanya Allah salah seorang dari yang tiga, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan pedih." - al-Maidah ayat 73


Kedua-dua dalil diatas menunjukkan Allah SWT mengutuk Ahli Kitab dan Nasrani sejak diturunkan al-Quran atau sejak zaman Nabi SAW lagi.

Bila Allah hukum Ahli Kitab ini kafir? Sejak baru-baru ini ke atau sejak zaman Nabi SAW lagi?


لَمْ يَكُنِ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّى تَأْتِيَهُمُ الْبَيِّنَةُ

"Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata." - al-Bayyinah ayat 1


Akhir sekali sekali, mencari yang halal itu penting bagi umat Islam. Hindarilah yang haram dan syubhah.


Assalamualaikum.


Sumber artikel : Di sini.

September 17, 2010

Puasa Enam DI Bulan Syawal

1. Asas kepada amalan puasa enam hari pada Bulan Syawwal ini ialah sabda Nabi S.A.W :

Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll).

2. Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa puasa enam hari pada Bulan Syawwal adalah sunat. Walaupun al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H) menganggap makruh puasa enam hari pada Bulan Syawwal, namun pendapat tersebut dianggap tidak kuat. Dalam al-Muwatta riwayat al-Imam Malik bin Anas disebutkan:

Malik berpendapat mengenai puasa enam hari selepas Idil Fitri bahawa beliau tidak pernah melihat ilmuwan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut. Tidak sampai kepadanya apa-apa riwayat daripada ulama salaf mengenai hal itu. Ilmuwan memakruhkan puasa tersebut. Mereka bimbang kebidahannya. Bimbang golongan jahil mengaitkannya dengan Ramadan”. (al-Muwatta’, 1/330 –bil: 857. Beirut: Muassasah al-Risalah).

Maksudnya, beliau menyatakan makruh sebab beliau tidak melihat ahli ilmuwan di Madinah ketika itu mengamalkannya dan bimbang puasa tersebut dianggap wajib oleh mereka yang jahil. Adapun riwayat hadis di atas yang menggalakkan puasa enam hari Syawwal dianggap tidak kukuh disebabkan rawi Sa’d bin Sa’id bin Qais adalah masalah hafalan maka dianggap tidak kuat jika dia bersendirian (infirad) dalam riwayat. Di samping itu al-Imam Malik mengukurnya dengan amalan ilmuwan Madinah pada zamannya yang beliau dapati tidak mengamalkannya.

3. Namun hadis ini dianggap sahih oleh majoriti ilmuwan hadis. Walaupun Sa’d bin Said bin Qais mempunyai sedikit masalah, tetapi hadis ini ada mutaba’ah (jalur rawi yang lain) seperti Sofwan bin Sulaim dan selainnya. Maka hadis ini sahih dari segi ilmu hadis. Ketika mengulas kenyataan al-Imam Malik yang melihat tiada ilmuwan pada zamannya mengamalkan puasa enam tersebut, al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) berkata:

Apabila sunnah itu telah sabit, maka ia tidak ditinggalkan hanya kerana ia tidak diamalkan oleh sebahagian, atau kebanyakan atau semua orang sekalipun” (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 8/238, Beirut: Dar al-Khair).

Maksud al-Imam al-Nawawi, kita tidak patut meninggalkan sesuatu sunnah Nabi S.A.W hanya kerana melihat orang lain tidak mengamalkannya sedangkan ia telah terbukti sahih riwayat tersebut di sisi ilmuwan hadis dan tiada nas sahih lain yang boleh menolak amalan tersebut. Inilah pendirian sepatutnya terhadap sunnah-sunnah Nabi S.A.W. Jika para ulama di Madinah pada masa al-Imam Malik bin Anas yang ketika masih ramai tabi’in dan sarjana-sarjana besar tidak dijadikan hujah bagi menolak amalan sunnah, apakah kita hari ini kita menolak sesuatu hadis hanya kerana orang Malaysia tidak mengamalkannya, atau ulama Malaysia tidak mengamalkanya? Sudah pasti itu dilakukan, maka terhapuskan banyak sunnah-sunnah Nabi S.A.W.

4. Berasaskan hadis ini maka kita dapat fahami bahawa sesiapa yang melakukan dua perkara; pertama, berpuasa pada bulan Ramadan. Kedua, berpuasa enam hari pada Bulan Syawwal. Maka ganjarannya seperti dia berpuasa setahun. Ertinya, jika dia hanya berpuasa Ramadan sahaja tanpa enam hari pada bulan Syawwal, dia tidak memperolehi fadilat ini. Demikian juga jika dia hanya berpuasa enam hari pada bulan Syawwal tanpa diselesaikan puasa Ramadan, maka dia juga tidak memperolehi fadilat ini.

5. Berdasarkan aturan ungkapan dalam hadis ini, maka yang terbaik seseorang yang mempunyai qada puasa Ramadan, sebaiknya hendaklah menyelesaikan qada (gantian) Ramadan dahulu kemudian diikuti enam hari pada Bulan Syawwal. Jika tidak berkesempatan lalu berpuasa enam dahulu dan qada selepas itu, mudah-mudahan amalan itu tetap diterima Allah kerana secara umumnya dia menunai keduanya, cuma tidak berdasar susunan sahaja.

6. Terdapat perbezaan dalam kalangan ulama; apakah afdal ditunai puasa enam hari pada bulan Syawwal itu sebaik sahaja selepas hari raya secara berturut-turut, atau mana-mana enam hari pada bulan Syawwal itu sama sahaja. Pendapat Mazhab Ahmad samada ditunaikan berturut-turut atau tidak adalah sama sahaja. Pendapat Mazhab Hanafi dan Syafi’i: Afdalnya berturut-turut selepas hariraya (lihat: Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah 1/380, Beirut: Dar al-Fikr).

7. Walaupun di sana ada yang berpendapat yang afdalnya adalah berturutan selepas hariraya disebabkan ungkapan ‘kemudian dia susulinya’, namun fadhilat puasa enam ini tetap diperolehi oleh sesiapa sahaja yang berpuasa enam hari tersebut dalam bulan Syawwal sekalipun bukan berturut-turut selepas hari raya. Kata al-Imam al-Nawawi:

Afdalnya dilakukan puasa enam hari berturut selepas hari raya. Jika dilewatkan sehingga akhir Syawwal tetap mendapat fadilat ‘disusuli enam hari’ kerana ia menyusuli enam hari dalam bulan Syawwal” (Syarh Sahih Muslim, 8/238).

8. Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi ketika menjawab persoalan tentang mestikah puasa enam Syawwal itu berturut-turut selepas hari raya atau tidak, berkata:

Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Samada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah-pecah dalam bulan Syawwal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah, 10/391).

9. Oleh kerana hari-hari puasa enam Syawwal itu ada pilihan, sementara kadang-kadang waktu kemeriahan keluarga itu sukar diperolehi melainkan seperti pertemuan semasa cuti hari raya ini, maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunat pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Puasa sunnat digalakkan, namun menjaga hubungan silaturrahim dan perasaan kaum keluarga juga amat penting. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi S.A.W daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:

Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah S.A.W. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah S.A.W pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).

Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!'". Jelas, baginda tidak menggalakkan berpuasa jika ada jamuan demi menjaga perasaan sahabat handai. Maka menjaga perasaan kaum keluarga lebih utama.

10. Tiada dalam Islam apa yang dinamakan dengan ‘hariraya puasa enam’. Tiada juga ibadat khusus hari raya puasa enam Syawwal seperti ‘solat tasbih hariraya puasa enam’ yang dibuat di sesetengah tempat. Ini semua perkara yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat baginda. Sabda Nabi S.A.W. :

Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak”. (Riwayat Muslim).

Solat tasbih jika hendak dilakukan, jangan dikaitkan dengan hariraya puasa enam atau sebagainya.

Sumber : Di Sini.